Saturday, 2 April 2011

MUNGKINKAH KUBURMU DI TINGKAT 8?

Dikuburkan secara tingkat meningkat? Pelik betul, tapi mungkin bakal jadi kenyataan. Lihat sahaja artikel berikut yang dipetik dari sumber BH.

Pencakar langit Mumbai papar konsep pusara menegak, pelbagai agama bawah satu bumbung

TANAH perkuburan Islam, Hindu dan Kristian di satu tempat? Ia mungkin tidak terjangkau dengan akal fikiran tetapi dengan wujudnya Menara Moksha di tengah bandar raya Mumbai, India, membuktikan apa saja boleh dibuat atas nama ‘keperluan semasa’ biarpun pasti mengundang kontroversi.

Lebih pelik, kawasan perkuburan yang lazimnya dibina secara melebar, sebaliknya menjadi menegak atau vertikal menerusi idea pembinaan konsep Menara Moksha ini.

Biarpun diulit kontroversi, rancangan mewujudkan Menara Moksha yang turut digelar Pusara Menegak ini dibuat atas alasan masalah kesesakan penduduk yang amat ketara di bandar raya itu yang menyebabkan tiada lagi ruang untuk yang hidup, apatah lagi yang sudah mati.

Jika dilihat, projek itu bukanlah yang pertama di dunia kerana bangunan setinggi 13 tingkat di atas bukit di Santos, Brazil, sudah pun mempunyai penghuni kakunya manakala seorang arkitek Korea Selatan turut melontarkan idea sama bagi mengatasi masalah kekurangan tanah perkuburan berikutan harga tanah yang tinggi di kawasan bandar utama.

Bagi kebanyakan kita, idea pembangunan seperti Menara Moksha itu mungkin tidak masuk akal, tetapi disifatkan praktikal bagi perancangnya. Alasannya - masalah kesesakan penduduk dan kekurangan tanah memaksa kerajaan India perlu memikirkan strategi bagi mengatasi masalah kronik kekurangan kawasan tanah perkuburan. Mumbai, kota kewangan India adalah yang terpadat di negara itu dengan jumlah penduduknya mencecah 20.5 juta orang. Malah, Mumbai atau sebelum ini dikenali sebagai Bombay, turut tersenarai 10 bandar raya paling padat di dunia.

Semakin padat penduduk, kian ramai pula yang meninggal dunia. Tidak hairanlah, idea mewujudkan Menara Maut ini menarik perhatian ramai walaupun pembinaannya belum dapat dipastikan kerana ia membabitkan banyak perkara lain yang perlu dipertimbangkan.

Namun idea serta konsep kubur mega itu sudah mendapat perhatian ramai. Apatah lagi projek Menara Moksha itu dikemukakan pihak Council on Tall Buildings and Urban Habitat - satu pertubuhan antarabangsa berpejabat di Amerika Syarikat yang juga pihak berkuasa bagi pembangunan bangunan tinggi, termasuk mengeluarkan senarai bangunan tertinggi dunia.

Biarpun mengenengahkan konsep kubur metropolitan, ia tidak meminggirkan kaedah pengebumian tradisi empat agama utama di Mumbai iaitu Islam, Hindu, Buddha dan Parsi. Secara statistik, penganut Hindu paling ramai di sini iaitu 67 peratus, Islam (18 peratus), Buddha (5.2 peratus) dan Kristian (4.2 peratus).

Bagi mereka yang beragama Islam, tingkat bawah diperuntukkan berikutan syarat bahawa jenazah dikebumikan. Bagi penganut Hindu dan Kristian di tingkat atas berikutan pengurusan mayat mereka secara dibakar.

Penganut Parsi yang membiarkan mayat untuk dijamah burung nasar, ditempatkan di bumbung.

Tidak ketinggalan ruang ibadat, meditasi dan tempat letak kereta, turut disediakan.

Konsep Menara Moksha dibangunkan sebagai tema mesra alam dengan perekanya, Yalin Fu dan Ihsuan Lin memastikan terdapat ruang hijau yang mencukupi merangkumi ketinggian menara itu.

Selain kehijauan di seluruh bangunan, rekaannya juga dilengkapi dengan tumbuhan-tumbuhan, lapisan pelbagai mengandungi lapisan luar, tumbuhan, material tenunan dan bingkai besi yang melapik bangunan berkenaan, berfungsi sebagai menyerap haba dan pencemaran.

Ia juga mensasarkan untuk mengguna pakai teknologi baru yang mengelakkan pembakaran terbuka dalam usaha mengurangkan pencemaran yang semakin meruncing di bandar raya berkenaan.

Menara berkenaan digambarkan sebagai menegak untuk menguruskan mayat yang menyediakan tempat untuk tempoh waktu lima hingga 10 tahun bagi memastikan kemampuan bangunan berkenaan digunakan untuk tempoh panjang.

Walau apapun, perancangan meletakkan tanah perkuburan pelbagai penganut agama mungkin relevan pada sesetengah pihak tetapi masih ada baik buruknya di sisi agama itu sendiri. Mungkin bagi sesetengah golongan, ia melambangkan perpaduan dan keharmonian pelbagai kepercayaan tetapi agama sendiri sudah pun menetapkan sempadan sejauh mana untuk kita saling bercampur.

Apa yang pasti menempatkan mayat pelbagai agama di satu tempat walaupun terasing dengan lingkungan tembok dan sebagainya bukanlah sesuatu yang boleh dikaitkan sebagai konsep toleransi bagi satu-satu pegangan.

Buat masa ini, konsep pembinaan Menara Moksha tinggal di atas kertas, tetapi tidak mustahil ideanya pasti diangkat mereka yang beranggapan ia penyelesaian masalah kekurangan tanah perkuburan di kota metroplitan.

Kubur langit di Tibet

Kubur langit Tibet. Burung sedang memakan mayat.
SELAIN in mengebumikan dan membakar mayat, terdapat pelbagai lagi kaedah lain digunakan untuk menghantar si mati ke alam satu lagi sama ada mengikut ajaran agama atau sekadar meneruskan tradisi.

Antara kaedah unik yang diamalkan termasuk apa yang dikenali sebagai Sky Burial atau pusara langit di Tibet. Amalan yang sudah dilakukan sejak beribu tahun itu membabitkan upacara yang dilakukan golongan tertentu Tibet.

Mayat dipotong dan dibiarkan di kawasan pengebumian untuk santapan burung nasar, yang dipuja penduduk tempatan sebagai haiwan suci. Ada lebih 1,100 kawasan Sky Burial dan yang terbesar terletak di Perkuburan Drigung Til yang menerima secara purata 10 mayat sehari.

Sementara di Australia, kawasan perkuburan di Victoria memulakan cara inovatif mengebumikan mayat dengan kaedah mesra alam dan mahal, alternatif kepada kaedah pembakaran. Terdapat cuma bilik berdiri untuk sesiapa yang memilih untuk dikebumikan di kawasan perkuburan unik itu.

Mayat diletakkan dalam beg khas berbanding keranda dan dikebumikan secara menegak di tanah yang pernah digunakan sebagai padang ragut. Menurut pengendali upacara pengebumian pelik itu, kaedah itu tidak menjejaskan alam sekitar.

Di Korea Selatan pula, pembakaran sebagai alternatif kepada pengebumian semakin popular. Menurut akhbar JoongAng Daily, undang-undang lama di Korea mengenai kaedah pengebumian dipinda pada tahun 2001, mengehadkan tempoh 60 tahun untuk dikebumi, dan selepas itu mayat dibakar.

Di Sweden, sebuah syarikat memperkenalkan teknik Promession yang menyaksikan mayat tidak diawet tetapi disejukkan sehingga di bawah paras -64 darjah Fahrenheit dengan peti sejuk biasa dan terus dibekukan sehingga -385 darjah Fahrenheit dengan meletakkan ia dalam cecair nitrogen.

Mayat beku menjalani proses yang menyaksikannya menjadi serbuk organik yang bersih dan tidak berbau, yang kemudian dimasukkan ke dalam ruang sedutan yang menyedut semua cecair dalam mayat itu.

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

WHO AM I?

My Photo

Orang selalu panggil Epul. Lebih suka guna nama SESTRONOVA.
Pelajar jurusan Fizik, University of Manchester, United Kingdom.
Skodeng adalah minat saya. Tapi bukan skodeng orang, cuma skodeng bintang (baca: stargazing). Penggemar tegar Nasi Goreng Ayam dan Horlicks Ais. Bakal cikgu fizik. Tapi jangan panggil saya cikgu dulu sebab belum masanya lagi. Hehehehe